KONGSI INFO : Ini adalah cara yang dilakukan oleh Ustaz Don untuk menyediakan air selusuh untuk memudahkan para isteri melahirkan anak. Menurut Ustaz Don, sebaik-baiknya disediakan air zam-zam dalam kuantiti yang mencukupi bergantung kepada keperluan masing-masing. Sekiranya tiada air zam-zam, air masak juga boleh digunakan. Seterusnya, ikuti langkah-langkah seperti berikut:
LANGKAH 1 :
Bacakan Surah Al-Fatihah (1x).
LANGKAH 2 :
Bacakan Surah Al-Hasyr ayat 21 hingga 24.
Terjemahan Ayat 21 Surah Al-Hasyr :
"Kalau sekiranya Kami turunkan AL-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnyatunduk terpecah belah di sebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir".
Terjemahan Ayat 22 Surah Al-Hasyr :
"Dialah Allah tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang".
Terjemahan Ayat 23 Surah Al-Hasyr :
"Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Raja yang Maha Suci, yang Maha Sejahtera, yang Mengurniakan Keamanan, yang Maha Memelihara, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki Segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan".
Terjemahan Ayat 24 Surah Al-Hasyr :
"Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang Membentuk Rupa, yang Mempunyai Asmaul Husna, Bertasbihlah kepadaNya apa yang di langit dan Bumi. Dan dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".
LANGKAH 3 :
Bacakan Selawat Syifa'.
LANGKAH 4 :
Bacakan Doa Selusuh.
Terjemahannya :
"Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya Surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya".
LANGKAH 5 :
Bacakan Doa Pemudah.
Terjemahannya :
"Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana Engkaulah yang Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu. Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatMu, Ya Arhamar Rahimin".
Setelah siap, simpanlah air selusuh tu ditempat yang elok sebelum diminum. Ada orang kata, elok minum mulai masuk minggu ke 38. Ada juga yang kata dah masuk labour room baru mula minum. Dan ada juga yang sapu air selusuh pada perut isteri sebelum bersalin. Apa-apa pun bergantung kepada pilihan masing-masing dan pastikan ianya tidak memudaratkan diri dan bayi. Mintalah pendapat ibu bapa dan ahli keluarga yang terdekat. Dan apa juga ikhtiar yang kita lakukan, ingatlah, Allah sebaik-baik perancang. Kita sebagai hambaNya perlu memohon diberikan yang terbaik.
"Bagi suami, bantulah isteri anda dengan memberikan sokongan sepenuhnya semasa proses melahirkan. Mereka sedang bertarung nyawa melahirkan zuriat kalian. Saya mendoakan, sesiapa sahaja yang sedang menunggu masa untuk melahirkan, semoga diberi kemudahan dan selamat semuanya. InsyaAllah. Dan jangan lupa kongsikan artikel ini kepada suami anda serta rakan-rakan anda yang lain", ujar Ustaz Don.
No comments:
Post a Comment