KONGSI INFO : Proton Holdings Bhd. (Proton) melalui kerjasama strategik bersama Honda Japan Ltd (Honda) telah melancarkan versi baharu Proton Perdana (The New Perdana) pada 14 Jun 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Proton Perdana generasi ke-4 ini telah didatangkan dengan tawaran dua varian iaitu 2.0L dan 2.4L yang mana masing-masing dijual pada harga dari RM113,438 hingga RM138,888 seunit. Pembeli diberikan pilihan dengan enam warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.
Proton Perdana baharu kali ini menampilkan reka bentuk yang dinamik dan anggun, sekaligus menjadikan ianya setanding kereta sedan eksekutif yang sofistikated serta bergaya. Selain itu juga, model ini juga bakal menjanjikan satu pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan selesa setelah sistem pengendalian kenderaan dipertingkatkan menerusi perkongsian platform antara Proton dan Honda.
Proton masih lagi mengekalkan Proton Perdana baharu ini dengan enjin Honda K24Z I-VTEC aci sesondol berkembar untuk varian 2.4L (178 hp/222 Nm) dan R20A I-VTEC aci sesondol tunggal untuk varian 2.0L (154 hp/189 Nm). Model baharu ini memiliki ukuran 5,020 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,475 mm tinggi dan jarak roda pula 2,800 mm. Tangki bahan apinya pula berkapasiti 70 liter.
Proton Perdana baharu varian 2.4L Premium dilengkapi dengan lampu utama projektor xenon, manakala projektor halogen untuk Proton Perdana baharu varian 2.0L. Model-model ini juga turut disertakan dengan lampu nyalaan siang LED, selain dihiasi dengan kit badan termasuk skirt sisi dan spoiler di bahagian belakang. Bantuan Parkir termasuk pengesan di bahagian hadapan dan belakang turut disediakan.
Selain itu juga, Proton Perdana baharu ini turut dilengkapi dengan ABS, EBD dan ESC. Bahagian kabinnya tidak banyak berbeza dengan Honda Accord. Ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear dan kawalan kelajuan pada roda stereng, sistem hiburan dan navigasi GPS, penghawa dingin dua-zon, kamera undur, dan tempat duduk larasan kuasa dengan lapan cara untuk pemandu.
Maklumat lanjut, sila layari Proton.
THE NEW PERDANA | Like the looks . Love the drive
No comments:
Post a Comment