Sensasi dan Terkini

Saturday, 31 December 2016

PANDUAN SERTA LANGKAH SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS MENGHADAPI BENCANA BANJIR



KONGSI INFO : Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Sungai yang dipenuhi air akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.

Sehubungan dengan itu, dikongsikan panduan-panduan dan langkah-langkah yang perlu kita ambil tindakan bersama, sebelum, semasa dan selepas menghadapi banjir seperti yang disarankan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia seperti berikut:


PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR


  • Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.

  • Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.

  • Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.

  • Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.

  • Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.

  • Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.



Gambar Hiasan

SEBELUM BANJIR (SEMASA TANDA-TANDA DIKESAN)


  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.

  • Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.

  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.

  • Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.

  • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.

SEMASA BANJIR (SEMASA PEMINDAHAN)


  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

  • Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.

  • Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.

SEMASA BANJIR  (DI DALAM KENDERAAN)


  • Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.

  • Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat


Gambar Hiasan

SEMASA BANJIR (DI DALAM RUMAH)


  • Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.

  • Bersedia dengan peralatan kecemasan.

  • Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.

SEMASA BANJIR (DI LUAR RUMAH)


  • Pergi ke tempat tinggi dan selamat.

  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.

  • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.

  • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.

  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.

  • Jangan minum air banjir.

SELEPAS BANJIR


  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.

  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).

  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.

  • Jangan terus memasukki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tersembunyi.

SELEPAS BANJIR (SEMASA MEMASUKI BANGUNAN)


  • Pakai kasut.

  • Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.

  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.

  • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.

SELEPAS BANJIR (PERIKSA ANCAMAN BAHAYA)



  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.

  • Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.

  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.

  • Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).

  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.

  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.

  • Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.

Sumber maklumat : Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

No comments:

Post a Comment