Sensasi dan Terkini

Saturday 28 January 2017

KERAJAAN ARAB SAUDI KEMBALIKAN SEMULA 27,900 KUOTA KEPADA JEMAAH HAJI MALAYSIA



KONGSI INFO : Berita baik bagi semua bakal jemaah haji Malaysia apabila Kerajaan Arab Saudi telah mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 1438H/2017M berbanding 22,230 orang sejak 2013.

Perkara ini telah dimaklumkan melalui siaran akhbar Lembaga Tabung Haji (TH) bertarikh 27 Januari 2017 sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Saleh Bentan, Menteri Haji Dan Umrah, Arab Saudi semasa mesyuarat tahunan urusan haji yang turut dihadiri oleh YB. Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Jeddah.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Malaysia amat menghargai keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.



Menurut TH, keputusan mengembalikan kuota jemaah haji Malaysia ini diambil setelah Kerajaan Arab Saudi dimaklumkan hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram sebagai usahanya memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah haji dan umrah setiap tahun.

Dalam mesyuarat tersebut, Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Saleh Bentan, Menteri Haji Dan Umrah, Arab Saudi telah memuji dan mengkagumi TH dalam pengurusan jemaah haji yang sistematik, tersusun serta memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ibadat haji melalui kursus-kursus haji kepada Jemaah Haji Malaysia.


Beliau juga turut memuji Jemaah Haji Malaysia yang sentiasa menumpukan perhatian kepada ibadat haji dan berdisplin tinggi ketika di Tanah Suci. Justeru itu, TH terus diiktiraf sebagai organisasi yang cemerlang dalam menyantuni Dhuyufurrahman dan beliau berharap negara-negara lain turut mencontohi pengurusan haji oleh TH.

Ketika ini dimaklumkan bahawa TH sedang membuat persiapan bagi keperluan bakal jemaah dari segi penerbangan, penginapan, sajian dan pengangkutan serta khidmat perubatan di Tanah Suci untuk Musim Haji 1438H/2017M. TH juga akan bekerjasama dengan pihak Muassasah Asia Tenggara dan beberapa agensi di Arab Saudi untuk memastikan keperluan logistik dirancang dengan baik bagi memastikan kebajikan Jemaah Haji Malaysia semasa berada di kota suci Makkah dan Madinah.


Kos menunaikan haji Musim Haji 1438H/2017M telah meningkat kepada RM19,550 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu. Walaupun kos meningkat setiap tahun, TH masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang Jemaah Haji Muasassah kali pertama sejak tahun 2009. Subsidi Haji yang ditanggung TH dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment