KONGSI INFO : Selaras dengan pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri semasa Mesyuarat JKKPA PATI Bil. 1/2017 bertarikh 17 Januari 2017 yang lalu serta kenyataan media daripada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia pada 20 Januari 2017, Program E-Kad Sementara Pekerja Asing (E-Kad PATI) akan dimulakan pada 15 Februari 2017 sehingga 30 Jun 2017.
Program E-Kad PATI ini merupakan satu inisiafif Kerajaan bertujuan untuk memberi peluang kepada pekerja asing tanpa dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram di Malaysia, diberikan kad kebenaran bekerja sementara bagi memenuhi sektor FORMAL yang dibenarkan.
Program ini turut dirangka untuk memenuhi permintaan majikan untuk mengisi keperluan tenaga kerja di sektor pekerjaan yang dibenarkan sahaja serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI dalam negara bagi tujuan pemantauan dan memenuhi keperluan senario keselamatan semasa.
E-Kad PATI merupakan pengesahan sementara pengambilan pekerja asing yang menggantikan dokumen perjalanan yang sah dari negara masing-masing. Ia diberi percuma kepada majikan dan sah sehingga 15 Februari 2018 bagi membolehkan majikan mempunyai masa yang mencukupi bagi melengkapkan proses pendaftaran pekerja tanpa izin mereka.
Majikan dan PATI yang telah didaftarkan seterusnya perlu mendapatkan dokumen (Pasport) daripada pihak kedutaan yang berkenaan bagi membolehkan PATI tersebut diputihkan melalui program ini. Kebanyakan permohonan E-Kad adalah melibatkan pati dari negara Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, walaupun hanya 23 peratus daripada PATI telah memohon E-Kad PATI sehingga 30 Jun 2017, Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran dan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen tetap akan dilakukan.
Majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing mereka di bawah E-Kad PATI boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi seorang PATI, penjara sehingga lima tahun, atau sebatan.
Sumber Gambar Hiasan : Sinar Harian
Selain itu, PATI yang gagal mendapatkan E-Kad digesa agar menyerah diri untuk mengelak daripada didenda atau penjara, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata mereka yang menyerah diri hanya akan dikenakaan denda RM400 berbanding kompaun RM5,000 jika didapati tidak memiliki E-Kad. Jika kes dibawa ke mahkamah, denda minimum RM10,000 akan dikenakan.
Mereka boleh menyerah diri dan akan dihantar pulang dengan segera, tetapi mereka akan disiasat terlebih dahulu sebelum diusir keluar.
Mustafar berkata sehingga hari ini, pihak Imigresen telah menahan lebih 2,000 pekerja asing dan 44 orang majikan di seluruh negara sejak tamat tempoh akhir pendaftaran pada 30 Jun 2017 yang lalu.
No comments:
Post a Comment