Sensasi dan Terkini

Friday 22 December 2017

PENDAPATAN AMANAH SAHAM BUMIPUTERA (ASB) BAGI TAHUN 2017 DIAGIHKAN LEBIH TINGGI TERMASUK PEMBERIAN BONUS KHAS



KONGSI INFO : Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 8.25 sen seunit bagi tabung utama ASNB iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. Jumlah ini terdiri daripada dividen 7.00 sen seunit, bonus sebanyak 0.25 sen seunit dan Bonus Khas 1.00 sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit sempena Ulang Tahun PNB yang ke-40 pada bulan Mac 2018.


Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, "Tahun ini banyak memberi impak positif kepada kami di PNB dan saya gembira kami berupaya mengumumkan pengagihan pendapatan yang lebih tinggi untuk pemegang unit ASB hari ini termasuk bonus istimewa untuk menandakan Ulang Tahun ke-40 kami. Jumlah pengagihan sebanyak RM10.7 bilion akan dimanfaatkan oleh 9.1 juta pemegang unit yang memiliki lebih daripada 145.6 bilion unit dalam ASB.

Sebahagian besar daripada pemegang unit, berjumlah kira-kira 7.5 juta dengan baki sehingga 10,000 unit akan mendapat pulangan efektif sebanyak 8.25 sen, 0.8 juta pemegang unit yang memiliki antara 10,001 dan 40,000 unit akan menerima sekurangkurangnya 7.50 sen manakala baki 0.7 juta pemegang unit akan menerima sekurang-kurangnya 7.26 sen."

Pengagihan pendapatan ini mewakili premium 4.85 mata peratusan berbanding penanda aras ASB, iaitu purata KLIBOR 3-bulan sebanyak 3.40% memandangkan ASB mencatatkan pendapatan bersih RM8.91 bilion pada 30 November 2017. Ini ekoran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan berada pada landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun penuh sebanyak 5.8% serta kejayaan pelaksanaan pelan strategik STRIVE-15 PNB setakat ini.

Lanjutan dari itu, pengiraan dividen dan bonus kini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi 12 bulan dalam tahun kewangan dana tersebut. Sebelum ini, pengiraan adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi 10 tahun yang lalu. Sementara itu, pengiraan pengagihan Bonus Ulang Tahun Khas juga tertakluk kepada purata baki pegangan minimum bulanan pada 2017, hanya untuk 10,000 unit pertama bagi setiap akaun.

Unit-unit yang dilaburkan semula dari dividen dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2018, manakala Bonus Ulang Tahun Khas akan dikreditkan pada 1 Mac 2018. Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan Bonus Ulang Tahun Khas dibayar daripada dana proprietari PNB mengikut budi bicara syarikat.

No comments:

Post a Comment