Sensasi dan Terkini

Thursday 1 December 2016

LARANGAN PENJUALAN MODEL PORSCHE, BMW DAN NISSAN DI KOREA SELATAN





LARANGAN PENJUALAN MODEL PORSCHE, BMW DAN NISSAN DI KOREA SELATAN



KONGSI INFO : Korea Selatan telah melarang penjualan beberapa model kereta yang dikeluarkan oleh Porsche, BMW dan Nissan, selain mendenda syarikat-syarikat terbabit melebihi USD$5 juta setelah siasatan ke atas dokumentasi ujian pelepasan pencemaran dilaksanakan secara besar-besaran.



Seoul mula menyiasat dokumentasi pensijilan alam sekitar ke atas semua kereta import, selepas Volkswagen pada tahun lalu mengakui telah memasang satu perisian yang digunakan untuk menipu keputusan ujian pelepasan pencemaran ke dalam kira-kira 11 juta kenderaan diesel di seluruh dunia. Alat tersebut dipercayai telah dipasang pada kenderaan yang menjalani ujian pelepasan, supaya keputusan ujian tersebut menunjukkan seolah-olah kenderaan berkenaan kelihatan kurang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.



Pada Ogos yang lalu, Kementerian Alam Sekitar Korea Selatan telah mengharamkan penjualan 80 model Volkswagen dan mengenakan denda kepada syarikat bagi kesalahan memalsukan dokumentasi ujian tahap bunyi enjin, penjimatan bahan api dan pelepasan asap. Skandal itu telah memberi kesan buruk kepada reputasi syarikat di negara ini, dengan jualan di Korea Selatan menjunam 33 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya.



Korea Selatan memaklumkan telah menemui penyelewengan pada sijil yang dikeluarkan melibatkan 10 model kereta yang dijual di negara tersebut iaitu Porsche (7 model), BMW (1 model) dan Nissan (2 model). Hong Dong-Kon, pegawai kementerian alam sekitar yang bertanggungjawab bagi auto piawaian alam sekitar berkata Nissan dan BMW diberi peluang untuk menjelaskan kedudukan mereka melalui peruntukan perundangan sekiranya dakwaan penyelewengan tersebut disahkan. Menurut beliau lagi, Porsche sudah mengakui kesilapan mereka dan telah menghentikan penjualan 4 daripada 7 model yang terlibat.



Pembuat kereta asing terutamanya jenama Jerman seperti Volkswagen telah semakin berkembang dalam industri automotif di Korea Selatan yang mana selama ini dikuasai oleh syarikat gergasi tempatan Hyundai dan gabungannya Kia. Kereta asing menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah jualan kereta tahun lepas meningkat daripada 10 peratus pada tahun 2012.



Sumber : Reuters

No comments:

Post a Comment