Sensasi dan Terkini

Sunday 27 November 2016

MADU KELULUT JANA PULANGAN RM300 JUTA SETAHUN





MADU KELULUT JANA PULANGAN RM300 JUTA SETAHUN



KONGSI INFO : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memaklumkan bahawa pengusaha industri madu kelulut mampu memperoleh pulangan sebanyak RM280 juta hingga RM300 juta setahun. Permintaan madu kelulut masih melebihi penawaran, menunjukkan harga makanan sihat itu akan terus meningkat, sekali gus berupaya menjadi antara produk premium negara.



MOA melalui Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) akan membuat penetapan bagi memastikan sama ada madu kelulut yang dikeluarkan oleh pengusaha industri madu kelulut adalah asli atau tiruan berpandukan kandungan madu terbabit. Berdasarkan hasil penyelidikan yang dilakukan oleh MARDI, madu kelulut didapati bukan sahaja mengandungi kandungan gula yang rendah, malah ianya juga turut kaya dengan antioksidan. Kandungan antioksidan yang terdapat dalam madu kelulut dikatakan empat hingga sepuluh kali ganda lebih banyak daripada madu biasa. Kepelbagaian khasiat yang ada pada madu kelulut itulah telah menjadikan madu kelulut ini diketengahkan oleh MOA dan MARDI sebagai salah satu produk baharu negara.



Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kualiti madu kelulut terjamin, MARDI terus giat menjalankan pembangunan penyelidikannya dari segi standard dengan mengambil kira beberapa perkara dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Akta ini mensyaratkan madu kelulut mesti mengandungi air tidak melebihi 20 peratus. Manakala kandungan gula penurun tidak kurang daripada 60 peratus.



Memandangkan madu kelulut tidak mempunyai sifat fisiokimia yang sama dengan madu biasa, justeru standard madu kelulut mesti diwujudkan. Buat masa ini, MARDI telah membangunkan satu graf standard, graf standard ini mengikut asas Codex Alimentarius yang digunakan dalam standard madu antarabangsa. Antara aspek yang diambil kira ialah kandungan kelembapan, gula menurun, tidak larut, keasidan, kekonduksian elektrik dan diastase.



Kandungan bahan-bahan tersebut adalah asas utama pembangunan standard bagi menjamin ketulenan dan kualiti produk yang tinggi dan sekali gus dapat membendung masalah madu kelulut tiruan. Justeru sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan standard tersebut, MARDI terus menjalin kerjasama erat dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Malaysia Genom Institut (MFI), Jabatan Standard Malaysia dan semua pihak yang terlibat termasuk universiti, pengusaha, serta pihak berkepentingan yang lain. MOA sangat komited untuk memastikan madu yang dihasilkan oleh penternak lebah kelulut di negara ini betul-betul berkualiti dan memenuhi standard antarabangsa.



SUMBER INFO :



Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)
Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)

No comments:

Post a Comment