Sensasi dan Terkini

Thursday 24 November 2016

VIRUS ZIKA MELALUI GIGITAN NYAMUK AEDES





VIRUS ZIKA MELALUI GIGITAN NYAMUK AEDES



KONGSI INFO : Tahukah anda apa itu virus Zika? Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes, iaitu vektor yang sama bagi demam denggi. Wabak ini bermula di Brazil dan kini telah tersebar di kebanyakan negara di rantau Amerika Selatan.



Tanda-tanda atau gejala-gejala pesakit terkena jangkitan virus Zika adalah menyerupai pesakit demam denggi, iaitu seperti demam, ruam, sakit sendi & otot, kelesuan, sakit kepala dan konjunktivitis (mata merah). Sekiranya seseorang itu mengalami tanda-tanda atau gejala-gejala seperti yang dinyatakan dalam tempoh tujuh hari selepas mengunjungi negara-negara yang terdapat jangkitan virus Zika, sila dapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.



Sehingga kini, masih tiada lagi ubat khusus atau vaksin untuk mencegah jangkitan virus Zika. Rawatan yang diberikan adalah sekadar untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit. Sehubungan dengan itu, pesakit adalah dinasihatkan supaya menghadkan pergerakan dan duduk di dalam rumah, selain mendapatkan rehat yang secukupnya, memperbanyakkan meminum air bersih dan mematuhi nasihat-nasihat yang diberikan oleh doktor.



Pepatah ada menyebut bahawa mencegah lebih baik daripada merawat. Berikut adalah langkah-langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak seperti:




  • Musnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

  • Elakkan daripada gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang bewarna cerah, memakai kelambu semasa tidur, dan menggunakan ubat penghalau nyamuk (repellent).

  • Elakkan daripada melakukan aktiviti luar pada waktu puncak nyamuk Aedes menggigit iaitu antara jam 5.00 pagi hingga 7.00 pagi, dan jam 5.00 petang hingga 7.00 petang.



Untuk keterangan lanjut mengenai virus Zika, sila dapatkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

No comments:

Post a Comment