Sensasi dan Terkini

Thursday 8 December 2016

MALAYSIA SASAR SIFAR HIV/AIDS MENJELANG TAHUN 2030





MALAYSIA SASAR SIFAR HIV/AIDS MENJELANG TAHUN 2030



KONGSI INFO : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap dapat mencapai sasaran negara sifar HIV/AIDS menjelang tahun 2030. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata dunia turut meletakkan sasaran yang sama untuk mencapai negara sifar HIV/AIDS pada tahun 2030.



"Sama ada dunia mencapai sasaran (sifar HIV/AIDS) atau tidak, kita (Malaysia) terus komited dan berazam untuk mencapai sasaran tersebut." katanya ketika merasmikan Hari AIDS Sedunia 2016 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak di sini hari ini.



Menurut beliau lagi, bagi mencapai sasaran negara sifar HIV/AIDS, komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan diperlukan untuk memerangi penyebaran jangkitan HIV/AIDS.





Walaupun jumlah kes HIV/AIDS di negara ini telah menurun, masih terdapat kebimbangan tentang ancaman penyakit tersebut yang mana 78 peratus daripada kes-kes baru yang dilaporkan adalah merupakan kes jangkitan melalui hubungan seks, manakala 17 peratus dijangkiti penagih dadah melalui penggunaan jarum.



Dr. S. Subramaniam berkata, statistik keseluruhan bagi HIV/AIDS di seluruh dunia telah menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus sejak tahun 2000 manakala jumlah kematian akibat AIDS telah menurun kepada 42 peratus sejak tahun 2004.



Pada tahun 2015, pesakit AIDS yang meninggal dunia menurun sebanyak 22 peratus berbanding tahun 2002. Manakala kadar kes jangkitan HIV baru pada akhir 2015 adalah 10.9 bagi setiap 100,000 rakyat dan angka itu dijangka menurun kepada 10.7 bagi setiap 100,000 rakyat menjelang Disember 2016.



Bagi melaksanakan pelbagai program untuk memerangi HIV/AIDS, KKM telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM202.1 juta dan program-program kesedaran tersebut akan diteruskan dalam usaha untuk mengawal dan mencegah HIV/AIDS di negara.

No comments:

Post a Comment