KONGSI INFO : Keadaan banjir di beberapa buah negeri di Malaysia semakin buruk dengan jumlah mangsa di tempatkan di pusat pemindahan seluruh negeri semakin meningkat setiap hari. Banjir bukan sahaja menyebabkan kebanyakan harta benda kita musnah, malah ia juga membahayakan keselamatan diri serta boleh meragut nyawa mangsa banjir akibat dihanyutkan oleh arus air yang deras. Sehubungan dengan itu, banyak perkara perlu diberikan perhatian oleh mangsa banjir termasuklah penjagaan kesihatan diri bagi mengelakkan jangkitan bawaan air akibat pencemaran air oleh banjir.
Untuk makluman, banjir adalah merupakan antara punca utama berlakunya penyakit bawaan air seperti cirit-birit (Gastroenteritis Akut), Kolera, Tifoid, Leptrospirosis, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan akibat bekalan air tidak bersih dan penyediaan makanan yang tercemar. Selain itu, air banjir juga bercampur dengan sampah-sarap serta najis menyebabkan ia tercemar dengan pelbagai jenis bakteria.
Bagi mengelakkan jangkitan penyakit-penyakit tersebut, berikut adalah sebahagian tips yang boleh dilaksanakan semasa banjir berlaku.
- Jangan bermain air banjir. Sekiranya terdedah dengan air banjir, pastikan anggota badan dicuci dengan sabun dan air yang bersih.
- Pastikan air yang diminum telah dimasak terlebih dahulu.
- Makan makanan yang dimasak sahaja.
- Elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman.
- Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang telah terdedah.
- Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling.
- Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas.
- Guna tandas yang sempurna.
- Buang sampah di tempat yang betul.
- Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor.
- Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.
Dikongsikan juga info berkaitan penyakit-penyakit akibat banjir untuk makluman dan rujukan.
Demam Kepialu
Demam kepialu disebabkan oleh kuman Salmonella Typhi yang terdapat di dalam air kencing dan najis pesakit kepialu dan pembawanya yang akan mencemarkan bekalan air atau makanan. Pembawa merujuk kepada seseorang yang mempunyai kuman-kuman kepialu di dalam badannya tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda demam kepialu. Pesakit akan mengalami sakit kepala yang amat sangat, perut meragam dan sakit, sembelit diikuti cirit-birit, demam tinggi dan berterusan selama tiga atau empat minggu, badan ditumbuhi ruam, mengantuk, dan mungkin tidak sedarkan diri. Mereka boleh mengalami pendarahan dan bahagian yang dijangkiti di dalam ususnya boleh pecah. Jika tidak dirawat, jangkitan kepialu juga boleh merebak ke jantung dan membawa maut.
Taun (Kolera)
Suatu jangkitan pada usus kecil oleh bakteria Vibrio cholerae yang menyebabkan muntah dan diarea (cirit-birit) yang teruk (yang dikenali sebagai najis air beras) dan menimbulkan dehidrasi (kekurangan air dalam badan).Penyakit ini juga berpunca daripada makanan atau air minuman tercemar dan biasanya berlaku sebagai wabak. Pesakit dirawat melalui infusi larutan garam secara intravena manakala antibiotik hanya untuk mempercepatkan pemulihan.
Leptrospirosis
Sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dari genus Leptospira yang ditularkan daripada air kencing tikus. Penyakit ini bermula dengan demam dan mungkin melibatkan hati yang menyebabkan demam kuning ataupun radang selaput otak. Dalam beberapa kes, ia turut melibatkan buah pinggang.
Gastroenteritis
Inflamasi atau radang perut dan usus yang lazimnya berpunca daripada jangkitan virus atau bakteria atau toksin-toksin keracunan makanan yang menyebabkan muntah, sakit perut, cirit-birit dan demam.Ia berlaku dari beberapa jam dan boleh berlarutan sehingga beberapa hari lamanya. Biasanya doktor akan memberikan rawatan antibiotik. Mangsa terpaksa ditahan di hospital jika ia bertambah serius. Gastroenteritis boleh menyebabkan kehilangan cecair adalah yang teruk terutamanya kepada bayi-bayi dan penggantian cecair secara intravena mungkin diperlukan.
No comments:
Post a Comment