KONGSI INFO : Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 3 Februari 2017 oleh Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, bermula 1 Februari 2017 semua kawasan di Taman Awam adalah dilarang merokok kecuali tempat letak kereta terbuka manakala bagi Taman Negara dan Taman Negeri, tiga tempat utama yang menjadi tumpuan orang awam iaitu menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi adalah dilarang merokok.
Pewartaan sebagai tempat dilarang merokok tersebut adalah sepertimana yang telah diperuntukan di bawah Peraturan 11(w) dan 11(x), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017, Taman-Taman Awam di seluruh Malaysia, Taman Negara yang telah diwartakan di bawah Akta Taman Negara 1980 [Akta 226], Enakmen Taman Negara Kelantan, Enakmen Taman Negara Pahang atau Enakmen Taman Negara Terengganu serta Taman-Taman Negeri seperti di dalam jadual kesembilan peraturan tersebut.
Selaras dengan pewartaan Taman-Taman Awam tersebut, Peraturan 21 iaitu peruntukan bagi hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka dengan keluasan satu pertiga kawasan merokok adalah dimansuhkan. Ini bermakna kini semua tiga jenis permis ini adalah seratus peratus kawasan dilarang merokok termasuk rokok, cerut, lain-lain hasil tembakau dan rokok elektronik.
Penambahan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 dan pemansuhan Peraturan 21 PPKHT 2004 bertujuan untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok atau lain-lain produk merokok. Ini adalah selaras dengan Artikel 8, WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang telah dianggotai Malaysia semenjak tahun 2005.
Selain daripada itu, perluasan kawasan-kawasan dan tempat-tempat dilarang merokok bertujuan untuk mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima oleh masyakarat. Bagi mereka yang melakukan kesalahan ini akan didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
Pihak Kementerian Kesihatan menasihatkan agar semua rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini dan menyeru agar semua lapisan masyarakat bersama-sama memastikan persekitaran anda terutama di tempat tumpuan awam bebas dari bahaya asap rokok dan lain-lain produk merokok.
TAMAN AWAM DAN TAMAN NEGARA SEBAGAI TEMPAT DILARANG MEROKOK MULAI 1 FEBRUARI 2017 https://t.co/f017VmPVAB via @kongsiXinfo #dilarangmerokok— Kongsi Info (@kongsiXinfo) 11 February 2017
No comments:
Post a Comment