Sensasi dan Terkini

Tuesday 15 November 2016

GAJET MENGANCAM NYAWA KANAK-KANAK



KONGSI INFO : Tahukah anda? Bahawa nisbah 1 daripada 3 orang kanak-kanak di Amerika Syarikat telah pandai menggunakan telefon bimbit atau tablet sebelum mereka pandai berkata-kata. Mengejutkan bukan? Namun itulah realitinya. Pada tahun 2013, sebagaimana dilaporkan oleh Dailymail, sebanyak 29% daripada kanak-kanak telah menggunakan gajet sebagai barang permainan kanak-kanak. Manakala 70% daripada mereka pula telah mahir sepenuhnya menggunakan gajet sebelum mereka mula memasuki alam persekolahan di sekolah rendah.


Memetik hasil kajian yang dikeluarkan oleh Akademi Pediatrik Amerika Syarikat, adalah tidak wajar kanak-kanak di bawah usia 2 tahun didedahkan dengan teknologi ini. Begitu juga kanak-kanak yang berusia 3 hingga 5 tahun, dan 6 hingga 17 tahun. Mereka hanya dibenarkan menggunakan gajet yang dihadkan selama 1 jam hingga 2 jam sehari sahaja. Penggunaan gajet oleh kanak-kanak secara berlebih-lebihan akan mengakibatkan kesan yang buruk dan serius sehingga boleh mengancam nyawa mereka.

Antara kesan-kesan buruk akibat penggunaan gajet secara berlebihan adalah seperti berikut:


Pertama: Menjejaskan Kesihatan Dan Tumbesaran Jasmani


Kanak-kanak akan menjadi tidak sensitif dengan persekitaran mereka dan tidak aktif melakukan aktiviti-aktiviti luar. Akibat terlalu asyik menggunakan gajet, secara tidak langsung tumbesaran mereka akan terbantut kerana keperluan makan minum mereka tidak diperolehi secara teratur.

Kedua: Perkembangan Mental dan Kemahiran Fizikal Terbantut


Perkembangan otak kanak-kanak sepatutnya dibangunkan secara berperingkat mengikut usia mereka. Begitu juga perkembangan kemahiran mereka. Apabila kanak-kanak hanya menggunakan satu atau dua jari mereka untuk menyentuh skrin tablet, ia sebenarnya akan membantutkan perkembangan kemahiran seluruh jari mereka. Akibatnya kanak-kanak tersebut tidak mahir memegang pensel dan ada juga yang tidak mampu bercakap apabila masuk ke pra-sekolah ataupun tadika.

Ketiga: Memberi Kesan Negatif Kepada Emosi dan Jiwa


Penggunaan gajet secara berlebihan juga akan mempengaruhi sikap negatif pada kanak-kanak dan remaja. Antara sikap negatif seperti bersikap kasar, bertindak agresif dan kurang sabar jika ingin mendapatkan sesuatu. Penggunaan gajet tersebut sememangnya mampu memberikan keseronokan kepada mereka secara mudah sehingga akhirnya mengundang ketagihan yang sukar dihentikan. Ketagihan penggunaan gajet menjadikan emosi mereka tidak stabil dan akan cepat mudah mengamuk dan memberontak jika kemahuan mereka tidak dipenuhi.

Kini di Amerika Syarikat sudah ada klinik-klinik yang menawarkan perkhimatan perubatan bagi merawat pesakit-pesakit ketagihan teknologi. Antara klinik-klinik tersebut seperti Bradford Regional Medical Center (Bradford, PA, Amerika Syarikat), Pusat Ketagihan Internet dan Teknologi (West Hartford, CT, Amerika Syarikat), Recovery Center Morningside (Irvine, CA, Amerika Syarikat), The Menninger Clinic (Houston, TX, Amerika Syarikat) dan lain-lain.

Sememangnya kita tidak boleh menafikan bahawa penggunaan gajet kala ini adalah merupakan satu kelebihan. Namun sekiranya ia tidak dikawal dan digunakan tanpa mengikut panduan, sudah tentu teknologi pada gajet tersebut akan memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak. Sememangnya menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak terlalu asyik dengan penggunaan gajet yang boleh memudharatkan mereka. Bimbinglah mereka dengan penuh kasih sayang, didiklah dengan kesabaran serta lakukanlah sesuatu yang berguna bersama-sama.

No comments:

Post a Comment